PIN POST
PERUBATAN JAWI
Oleh Tn Hj Ismail b Ahmad, Pengasas Perubatan Jawi dan Spraylogi, 2 Jun 2020 Dicatat perkataan demi perkataan oleh Norashikin Hasan -------...
Sabtu, 25 April 2026
Khamis, 23 April 2026
Selasa, 21 April 2026
Rabu, 15 April 2026
TIPU DAYA DALAM ALAM PERAWATAN
Di dalam amalan apapun yang kita lakukan kepada Allah swt, akan muncul tipu daya syaitan, sekalipun orang itu berbuat kebaikan. Di suruh-suruh lagi untuk buat kebaikan tersebut kemudian dibisikkan bahawa kemuliaannya dimuliakan Allah. Apatah lagi dalam dunia pengubatan, akan timbul ghurur atau tipu daya.
Sebab itu dalam asasnya, kita kena belajar dahulu membetulkan tauhid, tasawuf kita. Dalam hati kita jika bergerak, berfikir sesuatu yang tidak betul orang terhadap kita (su'uzhon). Maka, hendaklah kamu berhati-hati terhadap dirimu sendiri. Tilik-tiliklah oleh kamu akan hatimu sendiri. Hati yang berkata-kata itu boleh menjadi salah juga.
Tipu daya syaitan ini sangat pintar. Dulu, syaitan pergi mencekik seorang anak gadis supaya anak gadis itu di bawa pergi merawat ke tempat perawat yang boleh merawatnya. Sampai di tempat perawat, syaitan pun meninggalkannya dan sembuh. Orang melihat sembuh, bila pesakit pulang, syaitan cekik lagi dan perlig lagi kepada perawat. Akhirnya anak perempuan itu diletakkan sahaja di tempat perawat dan akhirnya berlakulah penzinaan.
Bagaimana untuk mengenalpasti tipu daya dalam perawatan? InsyaAllah perkara-perkara di bawah ini mudah-mudahan menjadikan kita lebih berhati-hati dalam mendapatkan rawatan atau melakukan perawatan kepada pesakit.
- Menggunakan tangkal (tamimah) untuk menyembuhkan penyakit
- Penyakit sembuh meskipun meninggalkan solat dan melakukan syirik.
- Matlamat dan tujuan merawat kerana diri sendiri bukan untuk ubudiyyah lillahi wahdah
- Sakit dikaitkan dengan buatan orang, sihir, saka dan sebagainya yang membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan dan persaudaraan
- Mendengar bisikan di telinganya tentang petunjuk penyakit dan cara merawatnya
- Mendapat mimpi tentang pelaku sihir
- Melihat wajah pelaku sihir di dalam mimpi atau firasatnya
- Berlaku dialog antara perawat dengan jin yang dikatakan merasuk ketika melakukan rawatan kesurupan
- Melanggar syariat - aurat terdedah, ibadah wajib ditinggalkan
- Suka meramal dan membuat andaian-andaian buruk
- Menceritakan aib pesakit
- Merawat dengan niat inginkan kemahsyuran dan dikenali ramai
- Menunjukkan kelebihan luar biasa dan kebolehan merawat
- Memindahkan penyakit ke objek pegun, tempat lain atau kepada haiwan
- Mempamerkan keupayaan luar biasa seperti mengeluarkan objek dari tubuh
- Percaya bahawa ubatlah yang menyembuhkan, bersedih apabila ubat yang diberi tidak menyembuhkan dan pesakit meninggal dunia
- Ubat yang diberikan tidak diiringi dengan nama Allah
- Mempromosikan, memperbesarkan, dan menguatkan keyakinan pesakit kepada makhluk halus, sihir, saka dan virus, bukan kepada Allah
- Amal ibadah dan kebaikkan dihebahkan
- Tidak membenarkan Allah dan Rasul dalam pengubatan
- Tidak yakin 100% kepada Allah dan Rasul (Al Quran dan Hadis Nabi SAW) dalam pengubatan
- Berhenti berikhtiar kerana mengambil rukhsah (keringanan) hukum harus berubat dengan yang haram
- Menyambung dan menerima sahaja rukhsah sampai akhir hayat tanpa ada usaha mencari ubat yang halal
- Beruzlah, berzikir mengkoreksi diri sedang dalam masa yang sama Islam diserang dengan makanan yang haram dan ubatan yang haram
- Mengatakan ia adalah urusan dunia sahaja dan tidak mahu terlibat dalam urusan jihad mempertahankan yang halal sebaliknya redha dan pasrah sahaja dengan yang haram selama-lamanya
Sebahagian besar maklumat di atas diperolehi daripada Kuliah Asas Herba Ke-3 yang disampaikan secara online oleh Tn Hj Ismail b Ahmad pada 8 September 2021.
Catatan Norashikin Hasan
TILIKAN DALAM ALAM PERAWATAN
Terdapat pelbagai cara tilikan dalam pengubatan yang digunakan. Hakikatnya amalan tilikan adalah haram kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang ghaib. Firman Allah SWT:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja” (Surah Al An’am: 59)
Antaranya cara tilikan yang biasa dilihat dalam pengubatan masyarakat hari ini ialah:
- Dengan cara memandang muka pesakit atau mana-mana bahagian tubuh badan, lalu disebutkan: "awak ni kena sihir", atau "dalam badan awak ni ada 60 ekor jin dan dalam rumah awak pun ada 150 ekor jin", atau "awak ni tak kena apa-apa, sakit biasa saja"
- Dengan mengira huruf nama pesakit dan ibunya lalu dikatakan awak kena sihir santau".
- Dengan cara sembahyang hajat serta berdoa. Selepas tu diberitahu awak kena buatan orang".
- Dengan memejamkan mata dan tafakkur dan kemudian disebutkan "awak ni kena buatan orang, sudah lama tapi awak tak sedar"
- Dengan cara memotong limau, mencalitkan kapur di dahi,
- Dengan melihat menerusi daun sirih yang dijampi atau daun sirih yang diletakkan di dahi.
- Dengan cara melihat garis-garis pada tapak tangan (palmistry) kemudian meramal masa depan, kewangan, rumahtangga, dan untung nasib.
- Dengan menggunakan batang mancis yang ditabur lalu dipilih satu dua oleh pesakit lalu disebutkan: "awak kena sihir. Yang sihirkan bukan orang lain, adik awak/ahli keluarga awak sendiri".
- Dengan menggunakan tasbih yang berpusing-pusing.
- Dengan menggunakan al-Quran.
- Dengan menggunakan jari telunjuk untuk mencari penyakit dan ayat-ayat al-Quran yang sesuai untuk digunakan bagi merawat pesakit.
- Dengan menggunakan info yang didengari dari bisikan di telinga. Ia disebut Tanasukh al-Arwah iaitu proses berkomunikasi dengan roh-roh si mati yang didakwa para wali bagi tujuan pengubatan.
- Dengan menggunakan asap rokok.
- Dengan menggunakan cara menurun. Istilah menurun ini juga disebut sebagai resapan roh, perantara dan mediator.
- Dengan menggunakan keris, kayu tongkat, kayu buluh atau apa-apa senjata.
- Dengan cara bakar kemenyan.
- Dengan cara puja hajat.
- Dengan cara mengalinkan buah kelapa, limau purut, telur dan sebagainya.
- Dengan meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat, rahsia tulisan tangan, ilmu strologi(zodiak) dan seumpama dengannya. - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Dengan melihat bintang-bintang di langit dan apa yang ada pada alam kemudian dinisbatkan kepada nasib seseorang individu itu.
- Dengan membacakan, menyebut, menulis huruf-huruf tunggal (HIJAIYYAH) al Quran dengan jari
- Dengan melihat alamat rumah, umur, dan alamat tempat kerja pesakit
Seorang perawat tidak boleh mendakwa dirinya kasyaf, tidak boleh mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang lalu dan akan datang, tidak boleh mendakwa dapat menentukan jumlah jin atau makhluk halus yang mengganggu dan menangkap serta membuang atau memindahkan jin atau makhluk halus tersebut. - Garis Panduan Amalan Penguabtan Islam, 2011, Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sahabat Quthnin bin Qabishah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Percaya kepada kokokan ayam jantan, percaya kepada kicauan burung, dan percaya kepada dukun, adalah perbuatan setan." (HR. Abu Dawud, Nasai, dan Ibnu Hiban dalam kitab shahihnya).
Sekiranya anda mendapati ada pengubatan yang menggunakan atau mengamalkan kaedah begini, tinggalkanlah pengubatan begitu, mohon ampun kepada Allah, mohon pertolongan daripada Allah agar dapat menemui penawar penyakit yang dialami.
Penawar penyakit bagi setiap orang mungkin berbeza. Kesembuhan seorang pesakit boleh datang dalam pelbagai cara antaranya ialah:
- mendengar kata-kata motivasi dan nasihat-nasihat untuk kerohanian.
- menukar rencah, resepi dan menu makanan yang biasa kepada yang lebih sihat.
- melakukan aktiviti dan hobi yang diminati.
- melakukan riadah setiap hari.
- mengamalkan minum jus setiap hari
- berbekam dan urutan berkala
- kembali membaca al quran yang sudah lama ditinggalkan.
- banyak bergaul dengan rakan-rakan di dalam majlis ilmu
- banyak bersedekah meskipun dengan senyuman
- dan pelbagai lagi.
Kisah Abu Bakar al-Khabazi
Abu Tahir al-Silafi menyebut dalam Mu‘jam al-Safar: "Aku mendengar Abu al-Hasan Ali bin Abi Bakar Ahmad bin Ali al-Katib al-Minzi di Damsyik berkata: Aku mendengar Abu Bakar al-Khabazi di Naisabur berkata:
مَرِضْتُ مَرَضًا خَطِرًا، فَرَآنِي جَارٌ لِي صَالِحٌ، فَقَالَ: اسْتَعْمِلْ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ"، وَكَانَ الْوَقْتُ ضَيِّقًا (وَلَعَلَّهُ: صَيْفًا)، فَاشْتَرَيْتُ بَطِّيخًا كَثِيرًا، وَاجْتَمَعَ جَمَاعَةٌ مِنَ الْفُقَرَاءِ وَالصِّبْيَانِ، فَأَكَلُوا وَرَفَعُوا أَيْدِيَهُمْ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَدَعَوْا لِي بِالشِّفَاءِ، فَوَاللَّهِ مَا أَصْبَحْتُ إِلَّا وَأَنَا فِي كُلِّ عَافِيَةٍ مِنَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى".
Maksudnya: 'Aku pernah mengalami penyakit yang berbahaya. Seorang jiran yang soleh melihat keadaanku lalu berkata: “Amalkan sabda Rasulullah SAW: ‘Ubatilah orang sakit dengan sedekah.’” Pada waktu itu, keadaan sangat panas (kemungkinan musim panas), maka aku membeli banyak buah tembikai. Kemudian, aku mengundang sekumpulan fakir miskin dan kanak-kanak untuk makan. Mereka makan dengan gembira dan mengangkat tangan mereka berdoa kepada Allah SWT agar aku disembuhkan. Demi Allah, keesokan harinya aku bangun dalam keadaan sihat sepenuhnya dengan kurnia Allah SWT.” (Lihat Mu‘jam al-Safar, hlm. 251).
Sedekah sebagai Sebab Penyembuhan Kisah Ibn al-Mubarak, al-Hakim Abu Abdullah, Abu Bakar al-Khabazi, dan pandangan al-Munawi menunjukkan bahawa sedekah adalah salah satu usaha syar‘ie untuk mendapatkan kesembuhan daripada penyakit. Amalan seperti menggali telaga, memberikan makanan, atau memperluaskan pemberian air menjadi sebab turunnya rahmat Allah SWT dan membawa kesembuhan.
Sumber rujukan:
- Isu-isu Berkaitan Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr.Hj Jahid Haji Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015
- 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak, 2017
- Laman sesawang https://zulkiflialbakri.com/artikel/amalan-salaf-berdasarkan-hadith-ubatilah-orang-sakit-dengan-sedekah
Langgan:
Catatan (Atom)
.png)

.png)