Isnin, 16 November 2020

HATI-HATI MENDAPATKAN RAWATAN ALTERNATIF

Amalan tilik menilik dan ramal meramal adalah dilarang keras dalam Islam. Terdapat pelbagai cara tilikan digunakan semasa mengubati pesakit antaranya mengubat dengan melihat tarikh lahir, nama ayah, nama ibu, alamat rumah, peta lokasi, ini adalah cabang daripada ilmu tilikan, ilmu falakiah iaitu ilmu nujum, ilmu perbintangan (horoskop).

Masyarakat umum perlu mengetahuinya agar tidak terjerumus dalam kaedah pengubatan yang batil akhirnya memakan diri sendiri kerana terperangkap tidak tahu jalan keluar walaupun sudah berpuluh-puluh tempat rawatan dikunjungi untuk mendapatkan rawatan.

Tilikan, ramalan dan scanning membawa maksud yang sama iaitu menyemak pesakit menggunakan kemahiran firasat yang dipelajari dan dibiasakan dengan latihan, yang melibatkan dakwaan boleh mengetahui perkara yang ghaib.

Perlu diingatkan bahawa, membacakan doa-doa dan ayat-ayat al Quran (ruqyah) kepada pesakit, ini adalah dibenarkan dalam Islam. Perawat/Peruqyah tidak mengetahui sedikit pun tentang apa yang mengganggu pesakit tetapi hanya membantu dengan lafaz-lafaz doa. Apabila pesakit bertanya, "Ada jin ke dalam badan saya?'' Perawat akan mengatakan "Saya tidak tahu, Allah maha Mengetahaui, saya hanya bantu dengan doa."

Sekiranya perawat mengatakan, "Setelah saya semak dengan ruqyah, ayat al quran dan doa tertentu, dengan kemahiran saya ini, terdapat simptom gangguan jin, kemungkinan ada jin dalam badan awak."

Atau menegaskan dengan , "simptom yang ada ini memberitahu bahawa terdapat gangguan jin pada diri awak. Mungkin sihir, jin, saka."

Berhati-hatilah kerana seorang perawat tidak boleh mendakwa dirinya kasyaf, tidak boleh mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang lalu dan akan datang, tidak boleh mendakwa dapat menentukan jumlah jin atau makhluk halus yang mengganggu dan menangkap serta membuang atau memindahkan jin atau makhluk halus tersebut. - Garis Panduan Amalan Penguabtan Islam, 2011, Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apabila seseorang perawat bercakap tentang sesuatu yang ghaib dan tidak diketahuinya secara yakin bererti dia telah berbohong dan ia bertentangan dengan ajaran Nabi SAW. - 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, 2017, Bahagian Penyelidikan JAIPK.

Larangan daripada dakwaan ini adalah menepati kaedah saa al-dhara'i'. Saad al dhara'i' dari segi istilah bermaksud menutup atau mencegah perkara-perkara yang dapat mendorong seseorang kepada hal yang dilarang dalam agama. Dengan erti kata yang lain, setiap perbuatan yang pada asalnya diizinkan tetapi datang sesuatu yang menyebabkan perbuatan itu seringkali bertukar menjadi mafsadah (keburukan).
Latihan dilakukan setiap kali menerima pesakit atau sesiapa sahaja yang ingin dirawat.

Kaedah tilikan, ramalan, dan imbasan ini dilakukan dengan pelbagai cara mengikut perguruan perawat itu. Antaranya ialah:

1. Dengan cara memandang muka pesakit atau mana-mana bahagian tubuh badan, lalu disebutkan: "awak ni kena sihir", atau "dalam badan awak ni ada 60 ekor jin dan dalam rumah awak pun ada 150 ekor jin", atau "awak ni tak kena apa-apa, sakit biasa saja"

2. Dengan mengira huruf nama pesakit dan ibunya lalu dikatakan awak kena sihir santau".

3. Dengan cara sembahyang hajat serta berdoa. Selepas tu diberitahu awak kena buatan orang".

4. Dengan memejamkan mata dan tafakkur dan kemudian disebutkan "awak ni kena buatan orang, sudah lama tapi awak tak sedar"

5. Dengan cara memotong limau, mencalitkan kapur di dahi,

6. Denga melihat menerusi daun sirih yang dijampi atau daun sirih yang diletakkan di dahi.

7. Dengan cara melihat garis-garis pada tapak tangan (palmistry) kemudian meramal masa depan, kewangan, rumahtangga, dan untung nasib.

8. Dengan menggunakan batang mancis yang ditabur lalu dipilih satu dua oleh pesakit lalu disebutkan: "awak kena sihir. Yang sihirkan bukan orang lain, adik awak/ahli keluarga awak sendiri".

9. Dengan menggunakan tasbih yang berpusing-pusing.

10. Dengan menggunakan al-Quran.

11. Dengan menggunakan jari telunjuk untuk mencari penyakit dan ayat-ayat al-Quran yang sesuai untuk digunakan bagi merawat pesakit. 

12. Dengan menggunakan bisikan di telinga.

13. Dengan menggunakan asap rokok.

14. Dengan menggunakan cara menurun. Istilah menurun ini juga disebut sebagai resapan roh, perantara dan mediator.

15. Dengan menggunakan keris, kayu tongkat, kayu buluh atau apa-apa senjata.

16. Dengan cara bakar kemenyan.

17. Dengan cara puja hajat.

18. Dengan cara mengalinkan buah kelapa, limau purut, telur dan sebagainya.

19. Dengan melihat nasib pada tafsir horoskop dan yang seumpama dengannya.

20. Dengan melihat bintang-bintang di langit dan apa yang ada pada alam kemudian dinisbatkan kepada nasib seseorang individu itu.

21. Dengan membacakan, menyebut, menulis huruf-huruf tunggal al Quran dengan jari

22. Dengan melihat alamat rumah, umur, dan alamat tempat kerja pesakit
 
Ini adalah termasuk dalam sihir, perawat ini merawat dengan menggunakan sihir tanpa ia sedari ataupun ia sedar. Ramai perawat mendakwa bahawa rawatan yang diberi oleh mereka adalah rawatan Islam, walaupun hakikatnya mereka sebenarnya telah terlibat dengan ilmu sihir tanpa sedar. Kita perlu jelas dengan hakikat ilmu sihir bahawa ia bukanlah rawatan Islam kerana ia adalah ilmu yang diajarkan oleh syaitan. Islam melarang merawat penyakit dengan sihir, merawat sihir dengan sihir. - (Isu-isu Berkaitan Aqidah & Syariah Dalam Pengubatan Tradisional dan Kontemporari, Dr Hj Jahed Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015)

Pada asasnya pengubatan ini mulia di sisi Allah, Nabi SAW mengajarkan doa-doa yang perlu diamalkan untuk melindungi diri dari ancaman manusia, haiwan berbisa, iblis, syaitan dan jin. Tetapi apabila sesuatu rawatan itu terkeluar daripada bingkai Al Quran dan Sunnah, terjadilah fitnah ke atas rawatan itu. Nauzubillah.

Dalam Islam tiada seorang pun yang tahu perkara ghaib melainkan hanya Allah. Firman Allah dalam surah an Naml, ayat 65:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
 
“Katakanlah (Ya Muhammad) : Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang
ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”

Kata ilmuwan Arab, “Tukang-tukang tilik itu berbohong walaupun ia bercakap benar”

Pelbagai cara tilikan digunakan oleh perawat. Kini, ia tidak kelihatan menggunakan sesuatu yang kotor tetapi lebih moden dan mengikut peredaran zaman. Antara medium pengubatan yang digunakan perawat ialah sudu atau garpu logam, duit syiling, keris, buluh runcing, kemenyan, garfutala, kertas dan sebagainya bagi menyemak gelombang (aura) tubuh pesakit.

Jika mendatangi kepada perawat yang memiliki ciri-ciri tersebut, maka tinggalkanlah kaedah pengubatan mereka dan janganlah ulangi ke tempat begitu lagi. Mohonlah perlindungan daripada Allah akibat keterlajuran diri kerana tidak tahu ini.

Jumpa dengan ahli nujum (orang yang boleh menilik), Allah tolak amalannya selama 40 hari. Manakala kalau kita percaya dengan ahli nujum, maka kita jatuh kufur. Firman Allah dalam surah al Mulk ayat 2, "Allah menciptakan yang hidup dan mati untuk menguji siapa yang paling baik amalannya"

Penulis mengambil beberapa manfaat daripada ucapan Dr Zakir Naik yang ketika itu dalam dialog di universiti tempatan di Malaysia. Antara ucapan beliau ialah,  

"Hidup ini adalah ujian untuk akhirat. Jadi, itulah sebab Islam mengatakan, jangan pergi kepada tukang ramal. Jika kau telah melakukan kesalahan, lupakanlah, jangan kau fikirkan lagi. Cuba hidup secara normal, cuba cari apa yang benar. Apa yang harus dilakukan? Analisislah. Buatlah pencarian. Analisis kitab agama, cari mana kitab yang benar, yang akan memberimu ketenangan, kedamaian, ketenteraman fikiran. Baca kitab itu dan ikuti, dan lupakan apa yang dikatakan peramal kepadamu. Bahkan jika hal itu ternyata benar, tiada masalah. Lakukan apa yang kau rasakan benar dalam pencarianmu tentang bagaimana cara menjalani kehidupan. Quran ini adalah petunjuk terakhir dan penutup dari Tuhan untuk umat manusia. Ia diperuntukkan untuk semua umat manusia. Dan jika kau membaca kitab ini kau akan dapat merasai ketenangan."

pada minit ke 11.05 hingga akhir. 

Rujukan :

  1. 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak, 2017
  2. Isu-isu Berkaitan Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr.Hj Jahid Haji Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015
  3. Kertas kerja Penggunaan Hipnosis Dalam Latihan Minda Bawah Sedar : Satu Penilaian Dari Sudut Aqidah & Syariat, Mahyuddin b Ismail, UMP, 2019

==================================================

Semoga anda gembira dengan perkongsian ini. Sekirannya anda ada sebarang soalan berkaitan produk HPA dan rawatan dengannya, anda boleh hubungi saya di link ini www.wasap.my/60135806760

Norashikin Hasan
Herbalis Asean - HPA Internasional

Tiada ulasan:

Catat Ulasan