Isnin, 11 Januari 2021

SAKIT ANGKARA SIHIR ATAU SAKIT FIZIKAL?

Bismillahirrahmanirrahim,

Orang sakit degeneratif yang sampai kepada tahap terakhir, akan berlaku penolakan tubuh terhadap semua makanan dan minuman yang masuk ke dalam badannya termasuklah drip atau cecair yang diaturkan oleh pihak hospital.

Pesakit akan muntah hampir setiap hari kerana tubuh tidak boleh menerima lagi sebagai persiapan akhir tubuhnya hidup.

Kanser, kencing manis, gagal fungsi buah pinggang, gagal fungsi hati dan organ lain adalah contoh penyakit degeneratif. Ia tidak berjangkit tetapi berpunca daripada kesan cara hidup dan pemakanan hari ini. Ia boleh sembuh sepenuhnya dengan izin Allah jika ubah cara pemakanan, berpuasa dan cara hidup yang lebih sihat.

Dalam ilmu pengubatan apa pun, amatlah baik kita cuba lakukan penafian jika ada ahli keluarga pesakit mengatakan dengan penuh yakin bahawa kanser yang berlaku kepada ahli keluarganya adalah kerana sihir.

Katakanlah kepada mereka bahawa penyakit ini datang dari Allah. Allah menyediakan banyak penawar. Allah jua yang menyembuhkan, sampai masa ajal menjemput kita akan redha dan hati menjadi tenang.
Kita mahukan pesakit kembali dengan tauhid yang benar. Kita elakkan pesakit dan ahli keluarganya daripada kepercayaan yang tidak benar iaitu percaya bahawa sakitnya itu kerana buatan manusia atau jin.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Meskipun manusia mempelajarinya tetapi mereka yang amanah dengan ilmu yang dipelajari tidak sekali-kali berani menyimpulkannya sebuah keputusan (terkena sihir), bimbang Allah tidak redha dan murka.

Agar kematian yang menjemput pesakit bukanlah kematian kekufuran kerana aqidah yang tidak benar (Nauzubillah) tetapi syahid (InsyaAllah) yang kita dambakan.

Aqidah boleh tergelincir jika manusia percaya bahawa sakitnya adalah kerana sihir jin, sihir manusia dan sebagainya kerana tidak Allah turunkan penyakit melainkan sudah Allah sediakan penawarnya. Terjadinya penyakit adalah justeru untuk manusia kembali kepada Penciptanya, Subhanallah!

Kalau ada manusia yang kembali menginsafi dirinya, alhamdulillah syukur. Yang amat dikesali ialah ada manusia yang semakin jauh dengan Allah apabila merasakan sakitnya tiada penawar.

Ia memilih untuk banyak mendekati manusia yang akhirnya pemikiran menjadi serabut, terhasut, terpercaya, terkeliru. Kemudian kemurungan sepanjang hayat. Apakah ini sungguh merugikan diri dan masa depan seseorang manusia itu.

Melainkan ia mendatangi manusia bagi tujuan mengetahui cara rawat diri sendiri atau ahli keluarga dengan ubatan penawar dari alam yang nyata. Penyakit apa pun jua, ubatnya ada pada alam.

Sakit kena sihir buatan jin dan sihir manusia, selain kita berdoa (ruqyah diri dan keluarga), ubatnya juga ada pada alam ini. Sakit santau, ubatnya ada pada alam ini. Orang dahulu kala tidak tahu apa itu virus dan bakteria yang membunuh, mereka menyebutnya sebagai santau.

Santau yang ada dalam makanan dan minuman itu ialah bakteria, kuman yang boleh membunuh. Contohnya telur atau daging ayam atau makanan dalam tin yang tercemar dengan bakteria, atau bahan kimia toksin, inilah santau.

Zaman ini, orang membuat racun sendiri dengan bahan-bahan yang mengandungi bakteria racun contohnya bisa kala jengking, ulat gonggok, serbuk logam (toksik) dan bahan daripada manusia dan binatang lainnya, lalu diolah seperti dimasak atau disimpan selama 40 hari dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapatkan kuman, bakteria, virus pembunuh itu yang bertukar menjadi racun yang sangat toksik. Lalu mereka meletakkannya dalam makanan atau minuman orang yang dibenci atau orang yang ditarget. Padahal tiada unsur-unsur sihir pun di situ melainkan kejahatan manusia itu sendiri.

Cara merawatnya ialah dengan menggunakan bahan ubat dari sumber alam yang ada kemampuan untuk mengikat dan menarik keluar racun ini. Ada penawar alam yang boleh digunakan bagi melakukan proses kilasi (tarik logam) dan proses mengeluarkan racun, bakteria, kuman. Seperti serbuk tanah liat terpilih, mineral koloidal, air kelapa muda, garam hitam, minum madu seperti kata Nabi SAW, berbekam dan sebagainya.

Telah Allah ciptakan penawar yang begitu banyak untuk dimanfaatkan oleh manusia. Subhanallah.

Kesimpulannya, banyak orang sakit, sembuh daripada penyakit degeneratif apabila kekuatan spiritualnya (rohani) semakin tinggi.

Wallahualam

Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Norashikin Hasan 
Mantan Peruqyah Amatur

==================================================

Semoga anda gembira dengan perkongsian ini. Sekirannya anda ada sebarang soalan berkaitan produk HPA dan rawatan dengannya, anda boleh hubungi saya di link ini www.wasap.my/60135806760

Norashikin Hasan
Herbalis Asean - HPA Internasional

Isnin, 4 Januari 2021

ILMU KEBATINAN

Gambar contoh ilmu aura pancaindera
Bismillahirrahmanirrahim, 

Ramai orang tertarik untuk memiliki kelebihan-kelebihan ajaib pancaindera. Sehingga mereka belajar ilmu yang tidak dituntut untuk dipelajari.

Mereka yakin ilmu melatih pancaindera ini tidak salah untuk dipelajari kerana bagi mereka ia adalah masalah khilafiah sahaja.

Ini bukan masalah khilafiah. Ini masalah berkaitan aqidah
Sepakat ulama 4 mazhab dunia menolak segala khilaf berkaitan aqidah. Tiada khilaf dalam perkara berkaitan aqidah umat Islam.

Di manakah masalah aqidah itu?

Masalah aqidah apabila mempercayai ada satu kuasa ghaib yang membantu, kononnya ada pertolongan dalam bentuk bisikan roh wali Allah (padahal ia adalah jin). Allah telah memisahkan alam roh dan alam manusia dan tidak mungkin akan berhubung lagi setelah kematian.

Mereka ini larut dengan pola pemikiran mereka. Kemudian mengajarkan pula kepada orang lain ilmu itu. Mereka tidak menyedari bahawa syaitan dan iblis telah menipunya dengan ilmu-ilmu ini. Syaitan dan iblis meletakkan kehebatan, kemampuan, dan keupayaan luar biasa dalam merawat diri dan orang lain.

Wahai teman, tujuan belajar yang sebenar adalah untuk merasakan kehambaan kepada Allah, mendekatkan diri kepada Allah, mencari redha Allah, Ubudiyyah Lillahi Wahdah.

Sebaik-baik ilmu ialah ilmu tauhid, atau paling tidak ilmu fardhu Ain, InsyaAllah kita akan terselamat. Awaluddin ma'rifatullah. Awal-awal agama ialah mengenal Allah (ilmu tauhid). Liciknya tipu daya iblis dan syaitan telah mengabui mata mereka. Sehingga tertanam dalam hati mereka belajar untuk memiliki kelebihan dan keajaiban diri yang orang lain tidak ada. 

Apa yang 'guru' ajarkan, anak murid pasti akan mendapatkannya. Apa sahaja keajaiban, dan kelebihan yang ada pada seorang 'guru' itu, ia juga akan diwarisi oleh anak murid. 

Maka berdampinglah anak murid bersama ilmu itu. Ia menyangkakan itu adalah ilmu daripada guru padahal 'ilmu' yang dipelajarinya itu berupa pendampingan.

Bermulalah firasat-firasat jin. Maka ia mula bersangka-sangka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Pancaindera terbuka luas kerana menerima ilmu firasat daripada gurunya. Kelebihan firasat mata batin, ketajaman mata hati, gerak hati, melihat dari jarak jauh, kembara roh, jelajah akal manusia lain. 

Apakah mereka tidak tahu bahawa di dalam maqasid syariah, adalah menjadi suatu kesalahan menceroboh akal dan roh manusia? Ada di kalangan kita yang tidak menyedari bahawa ilmu yang dipelajari ada ciri-ciri tersebut.

Mengawal minda seseorang, mengajak orang dalam keadaan terhipnotized untuk bercakap, dan meluahkan perasaan. Ini salah satu bentuk pencerobohan akal dan roh seseorang.

Kini ilmu ini banyak berlaku dalam dewan seminar di seluruh dunia, menggunakan teknik pukau minda dan roh. Mereka sebutkan sebagai kawalan dorongan rasa, memacu pesakit atau klient untuk bercakap dalam keadaan separuh sedar.... ini adalah hiptonized! 

Hipnotis ini dalam erti kata yang lain juga dikenali sebagai kembara roh, atau jelajah minda. Kembara roh dan jelajah minda ini adalah asas kepada ilmu telepati.

Di seluruh dunia pelbagai nama diberikan oleh pengasas ilmu-ilmu sebegini. Antaranya ialah LOA, LOV (LAW OF VIBRATION) Time Line Therapy (TLT) HUNA, PAST LIFE REGRESSION, DREAM SURFING@DREAM ANALYSIS, HIPNOSIS, TELEPATI, YOGA, REIKI, AURA, METAMORPHOSIS, NLP, SLNP, NUMEROLOGI, HOROSCOPE, SOUL TRAVEL, MID BRAIN, ESQ, ETC, SOMNAMBULISM, MAGNETISM, MESMERISM.

Ia adalah ilmu dari ilham pengasas-pengasas ajaran tersebut yang diamalkan di seluruh dunia. Sekilas pandang ia berkaitan sains, tetapi ia tiada keselarasan dengan Maqasid syariah. Ada banyak lagi nama-nama baru dengan pengasas-pengasan baru di seluruh dunia.

Ini adalah cabang ilmu kebatinan yang tidak diajarkan Nabi SAW. Dengan ilmu kebatinan ini, mereka mampu melihat, mendengar, merasa apa yang orang lain tidak lihat, dengar dan rasa. Mereka yakin itu adalah kelebihan pancaindera yang mereka dapat hasil daripada belajar ilmu itu. Orang yang belajar ilmu begini, semakin belajar, akan semakin mendabik dada.

Kemudian mereka ingin mengaplikasikannya dalam kaedah perawatan 'ruqyah Syar'iyah' kononnya ingin membantu pusat rawatan dalam berurusan dengan hal-hal yang tidak nampak dengan mata kasar.

Banyak wang yang mereka laburkan adalah bukti pengajian ilmu ajaib ini, tidak kira lelaki atau wanita.

Jangan sebut ilmu ini adalah daripada Nabi Khidir as kalau tidak alim dalam mengetahui biografi Nabi Muhammad SAW. (Kita menjadi malu pada diri sendiri. Malu kepada Allah juga.)

Ilmu laduni, silibus pengajiannya ialah zikrullah, selawat, ayat-ayat al quran dan lain-lain kononnya tidak bertentangan dengan syariat.

Apa yang salahnya dengan berzikir? Apakah salah zikrullah? Zikrullah tidak salah. Kerana Allah menjanjikan ketenangan dengan mengingati Allah. Zikrullah ialah mengingati Allah. Mengingati Allah tidak hanya pada sebutan di lidah tetapi boleh dengan pelbagai cara.

Seperti melihat alam, sungai, memasak, berkebun, memandu, kita sebut nama Allah kerana takjub dengan ciptaan Allah.

Yang salah ialah kita berzikir menyebut kalimat-kalimat Allah dengan berniat untuk memiliki sesuatu kelebihan yang segera. 

Berzikir dengan jumlah ribuan malah ratusan ribu jumlahnya tidak salah tetapi menjadi salah apabila bertujuan untuk kelebihan pancaindera, dan terbuka mata ketiga... Beginilah bermulanya seseorang itu gila isim. Nauzubillah.

Gila Isim - isim diambil daripada nama-nama Allah. Seseorang itu beramal dengan asma' Allah mengikut gurunya. Contohnya lafaz, Ya Qahhar. Kata gurunya "Ketika kamu mengamalkan Ya Qahhar ini kamu akan memiliki sesuatu kekuatan dalaman, tenaga yang kuat. Apabila memukul orang dengan sekali pukulan orang itu akan pengsan, jatuh dan mati". Akhirnya orang yang mengamalkan ini menjadi gila isim kerana terlalu panas. Mengamalkan asma' Allah sehingga panas (gila/majnun). Ini adalah tipu daya syaitan kepada manusia.

Asma' Allah tiada yang panas. Panas itu kerana niat beramal kerana untuk urusan dunia, untuk dirinya sendiri, untuk mendapat kelebihan-kelebihan, untuk dianggap istimewa, dan untuk habuan dunia. Ia bercampur baur antara amalan-amalan lain lagi. Sehingga ia tertipu dengan jin dan tertipu dengan dirinya sendiri. Ada yang berniat ingin didampingi dan didatangi oleh roh wali Allah kepadanya yang dapat membimbingnya dalam beramal. 

Misalnya ada orang melazimkan surah al Ikhlas setiap malam 100 kali. Apabila ia terus membaca, terus membaca, dan terus membaca, akan sampai suatu ketika, pada waktu subuh atau sepertiga malam ia dikejutkan oleh suara orang memberi salam, suara yang begitu kuat sekali. Kadangkala suara itu memperkenalkan dirinya ialah roh wali Allah bernama sekian dan sekian. Suara itu mengejutkannya bangun dan mengerjakan solat sunat tahajjud atau solat yang lainnya. Begitulah bermulanya penipuan syaitan yang sangat licik dan halus ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’: 85:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Bahkan jika kita amati ayat-ayat yang ada di dalam Al-Quran, kita akan dapati ayat yang jelas-jelas menyebut adanya pemisah di antara alam dunia dan alam kubur yang disebut sebagai alam barzakh. Firman Allah SWT :

لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya : “"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah Al-Mu’minun : 100)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan perkataan barzakh yang disebutkan dalam ayat tersebut, beliau menukilkan beberapa pandangan para ulama. Di antaranya, Mujahid menyebut bahawa barzakh adalah dinding antara dunia dengan akhirat. Muhammad Bin Ka’ab menyebut bahawa barzakh adalah alam di antara dunia dan akhirat. Mereka yang mati tidak bersama ahli dunia dan tidak pula seperti keadaan di akhirat di mana akan diberikan ganjaran syurga mahupun neraka. (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/311).

Dahulu orang bertapa di dalam gua, di dalam sungai, di atas gunung. Kini pertapaan tidak perlu jauh-jauh lagi. Di dalam bilik di rumah sendiri pun boleh bertapa dengan banyakkan zikrullah. Berzikir dan berselawat telah terseleweng kerana bertujuan untuk dibukakan laluan untuk berhubung dengan alam yang tidak kelihatan pada mata kasar. Oleh itu, ada orang mendakwa bahawa mereka boleh melihat jin, bercakap dengan jin dan masuk ke alam jin. Ini tipu daya, ghurur, talbis iblis. 

"Apabila masuk ke arena alam ghaib begini, kita harus ingat 99% di dalam alam jin iani ialah penipuan" - Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad


Mengapa zikir pun boleh sesat? Kerana orang yang mendirikan solat pun boleh tersesat. Nauzubillah! Sedangkan dengan solat juga boleh masuk neraka wail dan neraka saqar, inikan pula dengan berzikir! 

Buktinya pada surah Al Maa'un ayat kelima, 107:5

الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;"

Bagaimana penerimaan Allah terhadap ilmu batin ini ketika kita masih bertatih dalam hal fardhu ain?

Bagaimana penerimaan Allah terhadap ilmu firasat jin ini ketika kita masih terbata-bata dalam membaca al Quran?

Bagaimana penerimaan Allah kepada ilmu ajaib yang kita amalkan kepada orang ramai ketika kita tidak teliti soal kebersihan alam sekitar, tandas rumah, bilik tidur, ruang makan, ruang kerja yang penuh habuk, sarang lelabah, lipas?

Wallahualam


Rujukan :
1. Sebahagian besar catatan tulisan di atas penulis perolehi dari himpunan kuliah yang disampaikan oleh guru kami iaitu Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad.
2. 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak, 2017
4. Isu-isu Berkaitan Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr.Hj Jahid Haji Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015
5. Kertas kerja Penggunaan Hipnosis Dalam Latihan Minda Bawah Sedar : Satu Penilaian Dari Sudut Aqidah & Syariat, Mahyuddin b Ismail, UMP, 2019

==================================================

Semoga anda gembira dengan perkongsian ini. Sekirannya anda ada sebarang soalan berkaitan produk HPA dan rawatan dengannya, anda boleh hubungi saya di link ini www.wasap.my/60135806760


Norashikin Hasan
Herbalis Asean - HPA Internasional

Sabtu, 2 Januari 2021

MENILIK MERAMAL DAN MENGIMBAS AURA

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirahim, 

Dalam Islam tiada seorang pun yang tahu perkara ghaib melainkan hanya Allah. Firman Allah dalam surah an Naml, ayat 65:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

“Katakanlah (Ya Muhammad) : Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”

“Tukang-tukang tilik itu berbohong walaupun ia bercakap benar”
Ini bukan hadis daripada Nabi SAW tetapi ia adalah kata-kata agamawan Arab yang penulis temui dari beberapa blog bahasa Arab, dan diterjemahkan.

Pelbagai cara tilikan digunakan oleh perawat. Kini dalam pengubatan ia tidak kelihatan menggunakan sesuatu yang kotor tetapi menggunakan sudu atau garpu logam, keris, bakar kemenyan, puja hajat, tasbih yang berpusing-pusing, buah kelapa, asap rokok, cawan dan air kopi, memotong limau dan mencalit kapur pada dahi, melihat garis-garis pada tapak tangan (palmistry), mancis yang ditabur, garfutala, bisikan di telinga, menurun (meresap), menyemak aura makanan sunnah dengan cara meminta pesakit memegang minyak zaitun misalnya, sekiranya aura negatif dikesan oleh perawat ini maka pesakit itu tidak sesuai untuk mengamalkan minyak zaitun untuk merawat -penyakitnya, dan pelbagai lagi kaedah tilikan.

Jika mendatangi kepada perawat yang memiliki ciri-ciri tersebut, maka tinggalkanlah kaedah pengubatan mereka dan janganlah ulangi ke tempat begitu lagi.

Jumpa dengan ahli nujum (orang yang boleh menilik), Allah tolak amalannya selama 40 hari. Manakala kalau kita percaya dengan ahli nujum, maka kita jatuh kufur.

Zaman ini hati-hati dengan perawat yang orang gelar dengan ustaz. Dulu perawat begini adalah bomoh, pawang. Kini dipanggil ustaz kerana meruqyah guna ayat Al Quran. Hanya ilmu lah yang dapat membezakan perawatan mereka memang benar atau batil. Yang benar, alhamdulillah. Yang batil, Nauzubillah, jauhilah.

Wallahualam.

Norashikin Hasan
Mantan Peruqyah Amatur

==============================================

Semoga anda gembira dengan perkongsian ini. Sekirannya anda ada sebarang soalan berkaitan produk HPA dan rawatan dengannya, anda boleh hubungi saya di link ini www.wasap.my/60135806760

Norashikin Hasan
Herbalis Asean - HPA Internasional