Terdapat pelbagai cara tilikan dalam pengubatan yang digunakan. Hakikatnya amalan tilikan adalah haram kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang ghaib. Firman Allah SWT:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja” (Surah Al An’am: 59)
Antaranya cara tilikan yang biasa dilihat dalam pengubatan masyarakat hari ini ialah:
- Dengan cara memandang muka pesakit atau mana-mana bahagian tubuh badan, lalu disebutkan: "awak ni kena sihir", atau "dalam badan awak ni ada 60 ekor jin dan dalam rumah awak pun ada 150 ekor jin", atau "awak ni tak kena apa-apa, sakit biasa saja"
- Dengan mengira huruf nama pesakit dan ibunya lalu dikatakan awak kena sihir santau".
- Dengan cara sembahyang hajat serta berdoa. Selepas tu diberitahu awak kena buatan orang".
- Dengan memejamkan mata dan tafakkur dan kemudian disebutkan "awak ni kena buatan orang, sudah lama tapi awak tak sedar"
- Dengan cara memotong limau, mencalitkan kapur di dahi,
- Dengan melihat menerusi daun sirih yang dijampi atau daun sirih yang diletakkan di dahi.
- Dengan cara melihat garis-garis pada tapak tangan (palmistry) kemudian meramal masa depan, kewangan, rumahtangga, dan untung nasib.
- Dengan menggunakan batang mancis yang ditabur lalu dipilih satu dua oleh pesakit lalu disebutkan: "awak kena sihir. Yang sihirkan bukan orang lain, adik awak/ahli keluarga awak sendiri".
- Dengan menggunakan tasbih yang berpusing-pusing.
- Dengan menggunakan al-Quran.
- Dengan menggunakan jari telunjuk untuk mencari penyakit dan ayat-ayat al-Quran yang sesuai untuk digunakan bagi merawat pesakit.
- Dengan menggunakan info yang didengari dari bisikan di telinga. Ia disebut Tanasukh al-Arwah iaitu proses berkomunikasi dengan roh-roh si mati yang didakwa para wali bagi tujuan pengubatan.
- Dengan menggunakan asap rokok.
- Dengan menggunakan cara menurun. Istilah menurun ini juga disebut sebagai resapan roh, perantara dan mediator.
- Dengan menggunakan keris, kayu tongkat, kayu buluh atau apa-apa senjata.
- Dengan cara bakar kemenyan.
- Dengan cara puja hajat.
- Dengan cara mengalinkan buah kelapa, limau purut, telur dan sebagainya.
- Dengan meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat, rahsia tulisan tangan, ilmu strologi(zodiak) dan seumpama dengannya. - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Dengan melihat bintang-bintang di langit dan apa yang ada pada alam kemudian dinisbatkan kepada nasib seseorang individu itu.
- Dengan membacakan, menyebut, menulis huruf-huruf tunggal (HIJAIYYAH) al Quran dengan jari
- Dengan melihat alamat rumah, umur, dan alamat tempat kerja pesakit
Seorang perawat tidak boleh mendakwa dirinya kasyaf, tidak boleh mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang lalu dan akan datang, tidak boleh mendakwa dapat menentukan jumlah jin atau makhluk halus yang mengganggu dan menangkap serta membuang atau memindahkan jin atau makhluk halus tersebut. - Garis Panduan Amalan Penguabtan Islam, 2011, Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sahabat Quthnin bin Qabishah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Percaya kepada kokokan ayam jantan, percaya kepada kicauan burung, dan percaya kepada dukun, adalah perbuatan setan." (HR. Abu Dawud, Nasai, dan Ibnu Hiban dalam kitab shahihnya).
Sekiranya anda mendapati ada pengubatan yang menggunakan atau mengamalkan kaedah begini, tinggalkanlah pengubatan begitu, mohon ampun kepada Allah, mohon pertolongan daripada Allah agar dapat menemui penawar penyakit yang dialami.
Penawar penyakit bagi setiap orang mungkin berbeza. Kesembuhan seorang pesakit boleh datang dalam pelbagai cara antaranya ialah:
- mendengar kata-kata motivasi dan nasihat-nasihat untuk kerohanian.
- menukar rencah, resepi dan menu makanan yang biasa kepada yang lebih sihat.
- melakukan aktiviti dan hobi yang diminati.
- melakukan riadah setiap hari.
- mengamalkan minum jus setiap hari
- berbekam dan urutan berkala
- kembali membaca al quran yang sudah lama ditinggalkan.
- banyak bergaul dengan rakan-rakan di dalam majlis ilmu
- banyak bersedekah meskipun dengan senyuman
- dan pelbagai lagi.
Kisah Abu Bakar al-Khabazi
Abu Tahir al-Silafi menyebut dalam Mu‘jam al-Safar: "Aku mendengar Abu al-Hasan Ali bin Abi Bakar Ahmad bin Ali al-Katib al-Minzi di Damsyik berkata: Aku mendengar Abu Bakar al-Khabazi di Naisabur berkata:
مَرِضْتُ مَرَضًا خَطِرًا، فَرَآنِي جَارٌ لِي صَالِحٌ، فَقَالَ: اسْتَعْمِلْ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ"، وَكَانَ الْوَقْتُ ضَيِّقًا (وَلَعَلَّهُ: صَيْفًا)، فَاشْتَرَيْتُ بَطِّيخًا كَثِيرًا، وَاجْتَمَعَ جَمَاعَةٌ مِنَ الْفُقَرَاءِ وَالصِّبْيَانِ، فَأَكَلُوا وَرَفَعُوا أَيْدِيَهُمْ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَدَعَوْا لِي بِالشِّفَاءِ، فَوَاللَّهِ مَا أَصْبَحْتُ إِلَّا وَأَنَا فِي كُلِّ عَافِيَةٍ مِنَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى".
Maksudnya: 'Aku pernah mengalami penyakit yang berbahaya. Seorang jiran yang soleh melihat keadaanku lalu berkata: “Amalkan sabda Rasulullah SAW: ‘Ubatilah orang sakit dengan sedekah.’” Pada waktu itu, keadaan sangat panas (kemungkinan musim panas), maka aku membeli banyak buah tembikai. Kemudian, aku mengundang sekumpulan fakir miskin dan kanak-kanak untuk makan. Mereka makan dengan gembira dan mengangkat tangan mereka berdoa kepada Allah SWT agar aku disembuhkan. Demi Allah, keesokan harinya aku bangun dalam keadaan sihat sepenuhnya dengan kurnia Allah SWT.” (Lihat Mu‘jam al-Safar, hlm. 251).
Sedekah sebagai Sebab Penyembuhan Kisah Ibn al-Mubarak, al-Hakim Abu Abdullah, Abu Bakar al-Khabazi, dan pandangan al-Munawi menunjukkan bahawa sedekah adalah salah satu usaha syar‘ie untuk mendapatkan kesembuhan daripada penyakit. Amalan seperti menggali telaga, memberikan makanan, atau memperluaskan pemberian air menjadi sebab turunnya rahmat Allah SWT dan membawa kesembuhan.
Sumber rujukan:
- Isu-isu Berkaitan Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr.Hj Jahid Haji Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015
- 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak, 2017
- Laman sesawang https://zulkiflialbakri.com/artikel/amalan-salaf-berdasarkan-hadith-ubatilah-orang-sakit-dengan-sedekah

.png)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan