PIN POST

PERUBATAN JAWI

Oleh  Tn Hj Ismail b Ahmad, Pengasas Perubatan Jawi dan Spraylogi, 2 Jun 2020 Dicatat perkataan demi perkataan oleh Norashikin Hasan -------...

Rabu, 22 Mei 2024

WARKAH HATI TENTANG MURABBI (BHGN 1)



Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]
Allah SWT mengangkat martabat seorang guru, murabbi yang benar-benar ikhlas menyampaikan ilmu dengan kedudukan yang tinggi meskipun seorang guru itu telah lama meninggalkan kita.
Sehari dua ini kita merenung
Renungan fikir dan zikir
Kita cuba memuhasabah dan mengintropeksi diri sendiri
Kita ini tiada apa
Manusia biasa yang sering ada kelemahan
Ilmu, kemahiran, pengalaman, harta, keluarga, umur, kesihatan
Kesemuanya adalah pinjaman dari Allah
Kita takut tidak ada bekal yang dapat di bawa setelah mati
Lalu kita hanya penuhi hantaran-hantaran kita di dinding muka buku ini dengan hal-hal ilmu dan perkongsian dari guru kita yang dapat berbuah dengan buah yang barakah
Yang buah hasilnya dapat kita panen sama-sama di akhirat nanti
Kerinduan kepada guru terubat jua dengan memenuhi ruangan muka buku dengan suara dan penyampaian almarhum guru terutama almarhum Tn Hj Ismail b Hj Ahmad yang terlalu banyak jasanya kepada kita.
Guru yang memimpin aqal, dan jiwa kita hanya mengharapkan redha Allah semata-mata.
Guru yang memimpin akhlak kita semua untuk mencontohi akhlaknya Rasulullah SAW.
Malah yang lebih utama menyuntik kefahaman aqidah yang benar bergaris lurus Al Quran dan Sunnah.
Seringkali almarhum guru melarang kita untuk masuk ke dalam landasan Allah. Kerana almarhum guru takut kita tergelincir dengan aqidah yang salah.
Dikatakan oleh Imam Al-Mawardi di dalam Kitabnya:
وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا
Maksudnya: “Antara adab-adab mereka (guru) adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan tanpa mengharapkan rezeki daripadanya”. [Lihat: Adab dunia dan agama, 83]
Kami merindui kalammu wahai guru,
kami merindui nasihat-nasihatmu
Kami merindukan ucapan salammu setiap hari di corong telefon android
Ketika menulis warkah hati ini, pelupuk mata basah dengan rembesan air mata kerinduan
Wahai guru, ketika hayatmu, kau tidak pernah lupa kepada semua anak-anak didikmu dan sesiapa sahaja
Meskipun sedikit yang mahu mendapatkan manfaat, kau terus menyampaikan ilmu dan nasihat
Kita mahu bersama Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti, kita juga mahu bersama guru-guru kita di kalangan umat ini, yang dihimpunkan juga bersama orang-orang yang soleh
Tetapi kita merasa tidak cukup amalan untuk bersama-sama mereka nanti, namun kita berdoa dan terus bermunajat
"Ya Allah, luruskan niat kami, ikhlaskan hati-hati kami, mudahkan urusan kami, bantulah kami dalam perjuangan ini meski kami tinggal seorang dan sendiri. Ketika kami merasa sendirian, janganlah Kau tinggalkan kami Ya Allah. Kami tidak kuat untuk berjuang tanpa kekuatan yang Kau berikan Ya Allah. Dampingkanlah kami dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang memahami jalan juang untuk menuju mardhatillah Mu ya Allah"
Kalaulah esok ajal kita, biarlah laman muka buku kita ini bermakna buat sesiapa sahaja yang ingin mengambil manfaat daripadanya
Semoga laman muka buku ini menjadi lahan perjuangan dan dakwah
Biar ia barakah yang berantai-rantai tanpa henti
Semoga Allah SWT memberi kesihatan dan kekuatan kepada para guru yang masih hidup dan mengampunkan dosa-dosa kepada guru-guru kita yang telah pergi. Amin ya Rabbal A'lamin.
Nukilan
Tg Malim Perak
22.05.2024

10.00 pm 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan