Isnin, 4 Januari 2021

ILMU KEBATINAN

Gambar contoh ilmu aura pancaindera
Bismillahirrahmanirrahim, 

Ramai orang tertarik untuk memiliki kelebihan-kelebihan ajaib pancaindera. Sehingga mereka belajar ilmu yang tidak dituntut untuk dipelajari.

Mereka yakin ilmu melatih pancaindera ini tidak salah untuk dipelajari kerana bagi mereka ia adalah masalah khilafiah sahaja.

Ini bukan masalah khilafiah. Ini masalah berkaitan aqidah
Sepakat ulama 4 mazhab dunia menolak segala khilaf berkaitan aqidah. Tiada khilaf dalam perkara berkaitan aqidah umat Islam.

Di manakah masalah aqidah itu?

Masalah aqidah apabila mempercayai ada satu kuasa ghaib yang membantu, kononnya ada pertolongan dalam bentuk bisikan roh wali Allah (padahal ia adalah jin). Allah telah memisahkan alam roh dan alam manusia dan tidak mungkin akan berhubung lagi setelah kematian.

Mereka ini larut dengan pola pemikiran mereka. Kemudian mengajarkan pula kepada orang lain ilmu itu. Mereka tidak menyedari bahawa syaitan dan iblis telah menipunya dengan ilmu-ilmu ini. Syaitan dan iblis meletakkan kehebatan, kemampuan, dan keupayaan luar biasa dalam merawat diri dan orang lain.

Wahai teman, tujuan belajar yang sebenar adalah untuk merasakan kehambaan kepada Allah, mendekatkan diri kepada Allah, mencari redha Allah, Ubudiyyah Lillahi Wahdah.

Sebaik-baik ilmu ialah ilmu tauhid, atau paling tidak ilmu fardhu Ain, InsyaAllah kita akan terselamat. Awaluddin ma'rifatullah. Awal-awal agama ialah mengenal Allah (ilmu tauhid). Liciknya tipu daya iblis dan syaitan telah mengabui mata mereka. Sehingga tertanam dalam hati mereka belajar untuk memiliki kelebihan dan keajaiban diri yang orang lain tidak ada. 

Apa yang 'guru' ajarkan, anak murid pasti akan mendapatkannya. Apa sahaja keajaiban, dan kelebihan yang ada pada seorang 'guru' itu, ia juga akan diwarisi oleh anak murid. 

Maka berdampinglah anak murid bersama ilmu itu. Ia menyangkakan itu adalah ilmu daripada guru padahal 'ilmu' yang dipelajarinya itu berupa pendampingan.

Bermulalah firasat-firasat jin. Maka ia mula bersangka-sangka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Pancaindera terbuka luas kerana menerima ilmu firasat daripada gurunya. Kelebihan firasat mata batin, ketajaman mata hati, gerak hati, melihat dari jarak jauh, kembara roh, jelajah akal manusia lain. 

Apakah mereka tidak tahu bahawa di dalam maqasid syariah, adalah menjadi suatu kesalahan menceroboh akal dan roh manusia? Ada di kalangan kita yang tidak menyedari bahawa ilmu yang dipelajari ada ciri-ciri tersebut.

Mengawal minda seseorang, mengajak orang dalam keadaan terhipnotized untuk bercakap, dan meluahkan perasaan. Ini salah satu bentuk pencerobohan akal dan roh seseorang.

Kini ilmu ini banyak berlaku dalam dewan seminar di seluruh dunia, menggunakan teknik pukau minda dan roh. Mereka sebutkan sebagai kawalan dorongan rasa, memacu pesakit atau klient untuk bercakap dalam keadaan separuh sedar.... ini adalah hiptonized! 

Hipnotis ini dalam erti kata yang lain juga dikenali sebagai kembara roh, atau jelajah minda. Kembara roh dan jelajah minda ini adalah asas kepada ilmu telepati.

Di seluruh dunia pelbagai nama diberikan oleh pengasas ilmu-ilmu sebegini. Antaranya ialah LOA, LOV (LAW OF VIBRATION) Time Line Therapy (TLT) HUNA, PAST LIFE REGRESSION, DREAM SURFING@DREAM ANALYSIS, HIPNOSIS, TELEPATI, YOGA, REIKI, AURA, METAMORPHOSIS, NLP, SLNP, NUMEROLOGI, HOROSCOPE, SOUL TRAVEL, MID BRAIN, ESQ, ETC, SOMNAMBULISM, MAGNETISM, MESMERISM.

Ia adalah ilmu dari ilham pengasas-pengasas ajaran tersebut yang diamalkan di seluruh dunia. Sekilas pandang ia berkaitan sains, tetapi ia tiada keselarasan dengan Maqasid syariah. Ada banyak lagi nama-nama baru dengan pengasas-pengasan baru di seluruh dunia.

Ini adalah cabang ilmu kebatinan yang tidak diajarkan Nabi SAW. Dengan ilmu kebatinan ini, mereka mampu melihat, mendengar, merasa apa yang orang lain tidak lihat, dengar dan rasa. Mereka yakin itu adalah kelebihan pancaindera yang mereka dapat hasil daripada belajar ilmu itu. Orang yang belajar ilmu begini, semakin belajar, akan semakin mendabik dada.

Kemudian mereka ingin mengaplikasikannya dalam kaedah perawatan 'ruqyah Syar'iyah' kononnya ingin membantu pusat rawatan dalam berurusan dengan hal-hal yang tidak nampak dengan mata kasar.

Banyak wang yang mereka laburkan adalah bukti pengajian ilmu ajaib ini, tidak kira lelaki atau wanita.

Jangan sebut ilmu ini adalah daripada Nabi Khidir as kalau tidak alim dalam mengetahui biografi Nabi Muhammad SAW. (Kita menjadi malu pada diri sendiri. Malu kepada Allah juga.)

Ilmu laduni, silibus pengajiannya ialah zikrullah, selawat, ayat-ayat al quran dan lain-lain kononnya tidak bertentangan dengan syariat.

Apa yang salahnya dengan berzikir? Apakah salah zikrullah? Zikrullah tidak salah. Kerana Allah menjanjikan ketenangan dengan mengingati Allah. Zikrullah ialah mengingati Allah. Mengingati Allah tidak hanya pada sebutan di lidah tetapi boleh dengan pelbagai cara.

Seperti melihat alam, sungai, memasak, berkebun, memandu, kita sebut nama Allah kerana takjub dengan ciptaan Allah.

Yang salah ialah kita berzikir menyebut kalimat-kalimat Allah dengan berniat untuk memiliki sesuatu kelebihan yang segera. 

Berzikir dengan jumlah ribuan malah ratusan ribu jumlahnya tidak salah tetapi menjadi salah apabila bertujuan untuk kelebihan pancaindera, dan terbuka mata ketiga... Beginilah bermulanya seseorang itu gila isim. Nauzubillah.

Gila Isim - isim diambil daripada nama-nama Allah. Seseorang itu beramal dengan asma' Allah mengikut gurunya. Contohnya lafaz, Ya Qahhar. Kata gurunya "Ketika kamu mengamalkan Ya Qahhar ini kamu akan memiliki sesuatu kekuatan dalaman, tenaga yang kuat. Apabila memukul orang dengan sekali pukulan orang itu akan pengsan, jatuh dan mati". Akhirnya orang yang mengamalkan ini menjadi gila isim kerana terlalu panas. Mengamalkan asma' Allah sehingga panas (gila/majnun). Ini adalah tipu daya syaitan kepada manusia.

Asma' Allah tiada yang panas. Panas itu kerana niat beramal kerana untuk urusan dunia, untuk dirinya sendiri, untuk mendapat kelebihan-kelebihan, untuk dianggap istimewa, dan untuk habuan dunia. Ia bercampur baur antara amalan-amalan lain lagi. Sehingga ia tertipu dengan jin dan tertipu dengan dirinya sendiri. Ada yang berniat ingin didampingi dan didatangi oleh roh wali Allah kepadanya yang dapat membimbingnya dalam beramal. 

Misalnya ada orang melazimkan surah al Ikhlas setiap malam 100 kali. Apabila ia terus membaca, terus membaca, dan terus membaca, akan sampai suatu ketika, pada waktu subuh atau sepertiga malam ia dikejutkan oleh suara orang memberi salam, suara yang begitu kuat sekali. Kadangkala suara itu memperkenalkan dirinya ialah roh wali Allah bernama sekian dan sekian. Suara itu mengejutkannya bangun dan mengerjakan solat sunat tahajjud atau solat yang lainnya. Begitulah bermulanya penipuan syaitan yang sangat licik dan halus ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’: 85:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Bahkan jika kita amati ayat-ayat yang ada di dalam Al-Quran, kita akan dapati ayat yang jelas-jelas menyebut adanya pemisah di antara alam dunia dan alam kubur yang disebut sebagai alam barzakh. Firman Allah SWT :

لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya : “"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah Al-Mu’minun : 100)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan perkataan barzakh yang disebutkan dalam ayat tersebut, beliau menukilkan beberapa pandangan para ulama. Di antaranya, Mujahid menyebut bahawa barzakh adalah dinding antara dunia dengan akhirat. Muhammad Bin Ka’ab menyebut bahawa barzakh adalah alam di antara dunia dan akhirat. Mereka yang mati tidak bersama ahli dunia dan tidak pula seperti keadaan di akhirat di mana akan diberikan ganjaran syurga mahupun neraka. (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/311).

Dahulu orang bertapa di dalam gua, di dalam sungai, di atas gunung. Kini pertapaan tidak perlu jauh-jauh lagi. Di dalam bilik di rumah sendiri pun boleh bertapa dengan banyakkan zikrullah. Berzikir dan berselawat telah terseleweng kerana bertujuan untuk dibukakan laluan untuk berhubung dengan alam yang tidak kelihatan pada mata kasar. Oleh itu, ada orang mendakwa bahawa mereka boleh melihat jin, bercakap dengan jin dan masuk ke alam jin. Ini tipu daya, ghurur, talbis iblis. 

"Apabila masuk ke arena alam ghaib begini, kita harus ingat 99% di dalam alam jin iani ialah penipuan" - Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad


Mengapa zikir pun boleh sesat? Kerana orang yang mendirikan solat pun boleh tersesat. Nauzubillah! Sedangkan dengan solat juga boleh masuk neraka wail dan neraka saqar, inikan pula dengan berzikir! 

Buktinya pada surah Al Maa'un ayat kelima, 107:5

الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;"

Bagaimana penerimaan Allah terhadap ilmu batin ini ketika kita masih bertatih dalam hal fardhu ain?

Bagaimana penerimaan Allah terhadap ilmu firasat jin ini ketika kita masih terbata-bata dalam membaca al Quran?

Bagaimana penerimaan Allah kepada ilmu ajaib yang kita amalkan kepada orang ramai ketika kita tidak teliti soal kebersihan alam sekitar, tandas rumah, bilik tidur, ruang makan, ruang kerja yang penuh habuk, sarang lelabah, lipas?

Wallahualam


Rujukan :
1. Sebahagian besar catatan tulisan di atas penulis perolehi dari himpunan kuliah yang disampaikan oleh guru kami iaitu Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad.
2. 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak, 2017
4. Isu-isu Berkaitan Akidah dan Syariah Dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr.Hj Jahid Haji Sidek, Dr Mahyuddin Ismail, 2015
5. Kertas kerja Penggunaan Hipnosis Dalam Latihan Minda Bawah Sedar : Satu Penilaian Dari Sudut Aqidah & Syariat, Mahyuddin b Ismail, UMP, 2019

==================================================

Semoga anda gembira dengan perkongsian ini. Sekirannya anda ada sebarang soalan berkaitan produk HPA dan rawatan dengannya, anda boleh hubungi saya di link ini www.wasap.my/60135806760


Norashikin Hasan
Herbalis Asean - HPA Internasional

Tiada ulasan:

Catat Ulasan