Rabu, 15 September 2010

Adab Ketika Hamil, Melahirkan dan Menyambut Kelahiran


Kata ulama' bacalah Al Quran ketika membawa janin di dalam rahim. 

Al Quran dapat mempersiapkan diri bayi dengan segala mehnah dunia. Maka bacalah surah Al Kahfi. 

Kata ulama' Al Quran itu dapat mencantikkan paras rupa dan akhlak yang soleh. Maka bacalah surah Yusuf. 

Kata ulama' Al Quran itu dapat menjadikan si anak beroleh kebijaksanaan dan akan cerdas dalam mempelajari sesuatu ilmu yang baru. Maka bacalah surah Luqman. 

Kata ulama' Al Quran itu dapat menanamkan roh tauhid ke dalam jiwa si anak. Maka bacalah surah Maryam.

**********

Bergelar ibu buat pertama kali sesungguhnya begitu indah. Pengalaman telah banyak mendewasakan saya agar menjadi lebih matang daripada usia. Hati saya berbunga-bunga setiap kali melihat wajah si kecil Ammar di waktu pagi, saat ingin memandikannya. Telatah bayi. Ada-ada saja! Sehingga membuatkan saya tertawa sendiri, tersenyum sendiri, dan bicara sendiri..

Aduhai si penyejuk mata! 

Ketika itu baru saya sedari bahawa cahaya mata ini adalah amanah daripada Allah. Amanah yang cukup berat untuk dipertanggungjawabkan. Namun cukup ringan untuk diabaikan oleh manusia tidak berjiwa insan.

Ketika itu baru saya sedar bahawa saya harus mempersiapkan 'kelengkapan' untuk si kecil Ammar masuk ke alam baru iaitu alam dunia pula, setelah ia selesai menjalani suatu alam di dalam rahim. Lahirnya bayi ini ke dunia maka ia perlu ada kelengkapan rohani dan jasmani yang mantap.

Kelahiran bayi adalah suatu khabar gembira buat semua manusia. Begitu juga buat diri saya. Mujurlah junjungan mulia kita Nabi saw telah mengajarkan perkara-perkara yang perlu dilakukan sebagai menyambut kedatangan 'orang baru'. Semua yang diajarkan itu adalah persiapan rohani dan jasmani untuk si anak kecil mantap berhadapan dengan kehidupan di luar rahim ibunya yang penuh dengan pancaroba. 

Seandainya rohani dan jasmani bayi tidak dipersiapkan dengan apa yang diajarkan oleh baginda Nabi saw, maka bagaimana kestabilan rohaninya, dan bagaimana pula kekuatan jasmaninya melawan 'penyakit' dunia di akhir zaman ini?

Ketika itu baru saya teringat bahawa kita perlu 'beradab' dalam menerima 'orang baru'. Awal-awal lagi bayi sudah diajarkan tentang adab. Adab yang bagaimana? In syaa Allah adab yang bayi akan belajar daripada ibubapa mereka ketika baru sahaja dilahirkan ialah:

Pertama-tama sekali bayi dilafazkan azan ke telinga kanan dan iqamat pula ke telinga kiri. Rahsianya ialah untuk memperdengarkan bayi sejak awal akan kebesaran nama Allah dan kalimah syahadah yang merupakan pintu gerbang seseorang itu masuk ke dalam Islam. Tindakan ini melambangkan keIslaman yang diucapkan ketika masuk ke alam dunia. Lafaz azan dan iqamat juga dapat menjauhkan bayi daripada gangguan jin dan syaitan yang sentiasa menanti kelahiran bayi agar dapat dijadikan pengikutnya.

"Sesiapa yang mendapat cahaya mata maka diazankan pada telinga kanannya dan diiqamahkan pada telinga kirinya maka akan dijauhkan dari gangguan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit)- (Riwayat al-Baihaqi). "

Ummu Sibyan adalah dari kalangan kaum jin yang juga gemar mendengar tangisan anak-anak kecil terutamanya bayi.

Kedua, membersihkan mulut bayi. Ia lebih dikenali sebagai tahnik iaitu membersihkan bahagian atas dalam mulut bayi dengan kurma yang telah dimamah lumat. Jika tiada kurma boleh diganti dengan buah-buah manis yang lain. Ia dapat mempersiapkan mulut bayi untuk menyusu daripada ibunya.

Ketiga, mencukur kepala. Mencukur kepala dapat memelihara kesihatan bayi kerana apabila liang-liang kulit kepalanya menjadi lebih terbuka, rambutnya akan menjadi lebih subur. Menurut pendapat ilmuwan, ia dapat mempengaruhi kekuatan daya penglihatan, pendengaran dan hidu.

Keempat, aqiqah. Imam Malik mengatakan, "Aqiqah adalah perintah yang tidak boleh dipersoalkan lagi" Sabda rasulullah saw, "Semua anak tergantung (tergadai) dengan aqiqah, disembelih pada hari ketujuh, diberi nama, dan dicukur rambutnya." (Hadith Sahih). Untuk seorang putera, dua ekor dan untuk seorang puteri seekor dan tiada salahnya kambing itu jantan atau betina. Terdapat banyak hikmah dengan beraqiqah, antaranya dapat melindungi bayi daripada gangguan jin dan syaitan. Setiap anggota haiwan aqiqah digunakan untuk menebus seluruh anggota bayi.

Kelima, memberi nama. Nama adalah suatu doa buat kita. Maka, ayah bonda yang dikasihi, yang bakal menjadi ayah dan bonda, berilah nama anak-anak anda dengan nama yang terindah yang menjadi doa terbaik buat mereka. Berilah nama anak-anak anda dengan nama para nabi atau sahabat dan sahabiah Nabi SAW. Hindarilah nama-nama yang menyerupai agama lain atau memberi makna yang hina. Dikhuatiri nama itu tidak dapat memberkati kehidupan anak-anak anda.

Keenam, berkhatan. Khatan (khitan) bererti  memotong kult kepala penis lelaki. Khatan ialah salah satu keutamaan yang disyariatkan Allah swt untuk hamba-Nya sebagai pelengkap fitrah yang diberikan kepada hamba-Nya. Ia juga adalah perbuatan sunnah. Namun begitu, hampir kesemua ulama sepakat mengatakan khatan adalah wajib bagi lelaki dan tidak wajib bagi bayi perempuan. Para ahli fiqih mengganggap, perbuatan khitan ke atas bayi perempuan adalah terpuji.

**********

Nah! Lebih 1400 tahun lalu Rasulullah saw telah membekalkan ilmu dan amalan untuk kita menyambut kelahiran bayi. Ini semua adalah dari iringan wahyu dan seiring dengan fitrah manusia. 

Ingatlah perkara paling awal untuk dilakukan ialah azan dan iqamah, tahnik, mencukur rambut, aqiah, memberi nama dan berkhatan diamalkan kepada bayi. Supaya tubuh siap siaga jika ada unsur-unsur lain menyerang. Unsur-unsur kuman, bakteria dan virus, juga daripada al A'in.

Bukan dimasukkan dengan pelali. Masuknya pelali sebelum adab yang diajarkan Nabi SAW, rosaklah sistem imuniti, kurang daya tahan penyakit apabila berlaku serangan kuman dan virus.

Na'uzubillah! Semoga kita sentiasa dilindungi daripada niat jahat manusia ke atas diri kita dan keluarga kita. Amin.

Wallahua'lam.